Friday 27 April 2012

We Are The Best


WE ARE THE BEST
Oleh: Haslan Khairuddin

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh!
Alhamdulillah, selawat dan salam dipanjatkan kepada model teragung dan terulung Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda.


Warga Usuluddin KUIS sekalian,
Semoga kita sukses dalam segala urusan hidup selalu, amin.

Alhamdulillah, kita terpilih untuk berada di bawah "Usuluddin" iaitu satu disiplin yang cukup luas. Disiplin ini mendedahkan kepada kita pelbagai cabang ilmu dibawahnya seperti:
i- Ilmu al-Aqidah; perbincangan mengenai Rukun Iman, akidah sebagai seorang Muslim, perkara yang membatalkan akidah dan sebagainya.
ii- Ilmu al-Kalam;  perbincangan mengenai Akidah Islam dengan hujah-hujah rasional sebagai senjata untuk mendepani puak-puak Islam seperti Muktazilah, Jabariah, Qadariah dsbg. yang menjadikan rasionalisme sebagai asas kepercayaan dan pegangan hidup.
iii- Ilmu al-Tasawwuf; pengetahuan untuk mengenal dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya serta kaedah-kaedah dalam mencapai tujuan ini.
iv- Ilmu al-Milal wa al-Nihal (Agama-agama & Idelogi); mendedahkan kita pengetahuan berkaitan agama-agama selain Islam yang wujud di dunia.
v- Ilmu Muqaranah al-Adyan (Pebandingan Agama); mendedahkan kita pengetahuan berkaitan persamaan dan perbezaan yang wujud dalam agama-agama selain Islam dan hujah-hujah untuk mendepani mereka.
vi- Ilmu al-Tayyarat Fikriyyah al-Mua'sirah (Ideologi Pemikiran Semasa); mendedahkan kita pengetahuan berkaitan ideologi-ideologi semasa yang wujud di dunia pada hari ini seperti Nasionalisme, Sekularisme, Kapitalisme dan sebagainya.
vii- Ilmu Falsafah; mendedahkan kita pengetahuan berkaitan falsafah manusia yang wujud di dunia bermula sebelum Falsafah Greek kemudian Falsafah Islam, Falsafah Moden serta tokoh-tokohnya seperti Aristotle, Plato, Socrates, Ibn Sina, Ibn Rusyd, Ibn Tufayl dsbg.

Masya-Allah luas, baru cabang utama, belum lagi dipecah cabangnya seperti ilmu Kajian Ajaran Sesat, Tarekat-tarekat Kesufian, Pemikiran Islam dsbg.

Masya-Allah, belum lagi subjek-subjek multimedia yang dipelajari oleh pelajar Sarjana Muda Usuluddin dengan Multimedia (SMUM) yang begitu mengujakan kami para pensyarah untuk mempelajarinya . Jelas, WE ARE THE BEST!

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 27 bermaksud:
"Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Sesungguhnya ilmu Allah SWT itu luas. Alhamdulillah, kita punyai peluang untuk menuntut dan mempelajari ilmu-ilmu yang luas walaupun mungkin jauh sekali untuk mencapai sekelumit dari ilmu Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Justeru, kemahuan dan kesungguhan amat perlu untuk kita mencapai tujuan untuk menjadi yang terbaik atau the best. Semoga segala kemahuan dan urusan kita dipermudah-Nya, amin! Wassalam.

Tuesday 24 April 2012

Ahlan wa Marhaban

AHLAN WA MARHABAN
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh!

Alhamdulillah wa bismillah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.

Alhamdulillah, pada hari ini blog rasmi Jabatan Usuluddin, Kolej Universiti Islam Antarangsa Selangor (KUIS) dapat diwujudkan. Semoga blog ini dapat memberikan manfaat atau sesuatu kepada semua terutamanya kepada warga Usuluddin KUIS.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 88 bermaksud:
“Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepadaNyalah aku kembali.”
Selamat bertamu dan selamat membaca!