Thursday, 20 September 2012

Melebur Budaya Hedonisme


MELEBUR BUDAYA HEDONISME
Oleh: Ustaz Salman Zainal Abidin

Apa itu Hedonisme?
Hedonisme menurut Oxford Dictionary of Philosophy merujuk kepada perbuatan mengejar keseronokan sebagai matlamat akhir. Dalam perbincangan etika hedonisme diertikan sebagai usaha untuk mencapai keseronokkan dalam setiap perlakuan dan tindakan. Dalam pengertian yang lebih santai, budaya Hedonisme ialah semangat mengutamakan keseronokkan dan hiburan fizikal dalam setiap tindakan.

Tidak dapat disangkal lagi, bahawa kemunculan hedonisme ini adalah natijah kepada penularan sekularisme. Ideologi yang memisahkan agama dalam perbuatan seharian ini melahirkan golongan manusia yang meletakkan keseronokan sebagai matlamat hidup yang mesti diberikan keutamaan walaupun terpaksa membelakangkan persoalan dosa dan pahala. 

Hedonisme dalam masyarakat Islam
Pemerhatian yang tulus akan menyedarkan kita betapa budaya hedonisme ini seakan telah menjadi norma dalam segenap aspek masyarakat Islam. Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, golongan artis yang menjadi sebahagian instrumen budaya hedonisme adalah golongan yang paling dikenali oleh segenap lapisan masyarakat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, pendidik tidak terkecuali golongan agama. Fenomena ini menjadi indikator jelas bahawa hiburan dan keseronokan telah mendominasi sebahagian besar pemikiran masyarakat.

Andaian penulis dikuatkan lagi dengan realiti perkembangan industri hiburan negara yang seakan berlumba dengan industri hiburan di negara-negara barat. Rancangan-rancangan hiburan bercambah subur dengan pelbagai variasi, sasaran peserta dan audien. Kanak-kanak dan golongan remaja tidak lagi 'berseorangan' dalam industri hiburan, tetapi mereka kini 'ditemani' oleh ayah dan ibu bahkan datuk dan nenek yang berkemungkinan teruja dengan rancangan 'khusus' untuk mereka seperti rancangan terbita Astro; Kilauan Emas.

Kesan langsung daripada fenomena ini melahirkan masyarakat yang tidak akan menghiraukan apa sahaja aktiviti kecuali disertakan dengan elemen keseronokan dan hiburan. Kanak-kanak dan remaja tidak akan teruja untuk belajar kecuali mesti ditemani alunan muzik. Upacara-upacara rasmi negara yang bersifat patriotik seperti sambutan kemerdekaan akan hilang serinya jika tidak ada penyertaan artis yang memeriahkan suasana. Program sambutan hari raya yang merupakan simbol kemenangan melawan nafsu tidak akan bermakna jika tidak ada nyanyian, gelak ketawa, usik mengusik dan sebagainya. Bahkan yang paling malang, rancangan-rancangan keagamaan terpaksa diubahsuai dengan disertakan elemen hiburan bagi memastikan sambutan penonton. Sebahagian program keagamaan terpaksa mencedok format program-program hiburan supaya lebih elegan dan ceria. Suatu ketika dahulu, rancangan Akademi Fantasia yang merupakan rancangan realiti pertama industri hiburan negara berjaya menggamit ribuan penonton bersama menyertai undian bagi memenangi peserta pilihan juga menangis berkongsi kesedihan dengan peserta yang tersingkir.

Dalam usaha menyaingi rancangan Akademi Fantasia yang terang-terangan menyalahi norma agama, muncul program realiti berbentuk Islami, Akademi al-Qur'an. Secara peribadi penulis berkeyakinan bahawa masyarakat yang cintakan Islam akan bersyukur dengan kemunculan prpgram-program seumpama ini. Cuma penulis agak terkilan apabila sebahagian besar program Islami 'terpaksa' mengetengahkan konsep hiburan maksiat dalam rancangan-rancangan mereka sebagai usaha menarik minat penonton. Sebagai contoh, program hiburan yang menampilkan pengacara lelaki yang bergandingan dengan pengacara perempuan, maka itulah konsep yang diketengahkan oleh program-program Islami. Demikian juga, peserta wanita yang berpakaian menjolok mata dalam program hiburan maksiat, maka dalam program-program Islami peserta wanitanya tidak kalah dengan mulut dan pipi yang merah, barangkali ini adalah tabarruj versi Islam? Persoalan yang bermain di dalam minda penulis; sejauh manakah keperluan menerapkan konsep hiburan maksiat  di dalam program-program Islami?

Pelajar-pelajar agama menganut hedonisme?
Apa yang lebih parah apabila budaya hedonisme ini mula menjangkiti minda pelajar-pelajar yang mendalami Ilmu-ilmu agama. Lalu, segala tindakan dan aktiviti yang dirancang tidak akan terlepas daripada matlamat ingin berseronok. Kesannya, akan lahir golongan agama yang hilang sensitiviti terhadap perkara halal dan haram. Disiplin pergaulan berlainan jantina dipandang sepi. Batasan aurat menjadi persoalan peribadi dengan alasan 'rukhsah' yang membenarkan apa sahaja bentuk dan corak pakaian asal sahaja menutup aurat. Berdua-duaan, berjalan beriringan, makan satu meja dibolehkan dengan alasan berpersatuan? Jika begini minda pelajar-pelajar agama, apakah lagi harapan masyarakat Islam untuk mereka menjadi pendidik anak-anak ummah?

Kesimpulan
Budaya hedonisme tidak boleh disesuaikan sama sekali dengan Islam lantaran akarnya tumbuh dari Sekularisme. Islam melihat hiburan dan keseronokan sebagai alat untuk menenangkan jiwa, bukan sebagai matlamat yang mesti dipenuhi setiap masa. Justeru, akar hedonisme ini mesti dileburkan sehancur-hancurnya dalam jiwa masyarakat Islam. Semestinya wajib bermula daripada diri-diri pelajar-pelajar agama yang bertanggungjawab mendidik generasi ummah ini. Setiap perlakuan, tindakan dan perancangan mesti berpaksikan kepada nilai-nilai Islam. Wajib ditanamkan dalam jiwa 'keberadaan Allah' dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Hanya dengan menyuburkan Islam dan segala nilai-nilainya dalam jiwa, bangkai hedonisme bakal tercampak jauh.