Showing posts with label Mutiara Kata. Show all posts
Showing posts with label Mutiara Kata. Show all posts

Monday, 2 June 2014

Selamat Datang & Selamat Kembali ke KUIS


Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Kepada pelajar baharu,
Selamat datang ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan selamat menjadi ahli keluarga Jabatan Usuluddin, Akademi Islam, KUIS. Semoga langkah pertama kalian ke sini sentiasa dan terus dipimpin Allah SWT. Amin Ya Rab!

Kepada pelajar senior,
Selamat kembali untuk menduduki semester baharu. Mudah-mudahan kembalinya kalian dengan semangat membara untuk terus mengukir kejayaan demi kejayaan. kecemerlangan yang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi syakhsiah serta perilaku. Amin Ya Allah!

Kepada para pensyarah,
Selamat kembali mendidik umat. Selamat kembali menabur bakti. Semoga segala urusan dan kewajipan kita dipermudahkan Allah SWT.

Akhirnya...
Semoga segala tindak tanduk kita dalam reda-Nya selalu. Semoga kita cemerlang dunia dan akhirat. Amin Ya Rab al-alamin!


Coretan..
Ketua Jabatan Usuluddin
Akademi Islam
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Friday, 22 February 2013

Baucar Buku 1Malaysia (BB1M)


BAUCAR BUKU 1MALAYSIA (BB1M) TAHUN 2013 RM250
Oleh: Wan Haslan Khairuddin

Assalamualaikum WBT. Tahniah diucapkan kepada semua para pelajar yang menerima BB1M. Tahun ini BB1M meningkat kepada RM250.00. Sebagaimana yang diketahui, BB1M adalah inisiatif kerajaan untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian disamping ianya diharapkan dapat memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Justeru, manfaatkan BB1M anda dengan sebaiknya. "Beli buku rujukan bukan beli buku yang bukan-bukan". Berikut adalah buku-buku yang saya cadangkan untuk anda miliki. Buku-buku ini bukan sahaja anda boleh manfaatkan pada masa kini bahkan sehingga ke masa-masa di penghujung usia anda nanti. Wallahualam.
Kitab Fikah Mazhab Syafie (Terjemahan al-Fiqh al-Manhaji)
Sinopsis: Kitab Fikah Mazhab Syafie atau "al-Fiqh al-Manhaji" adalah kitab fikah mazhab syafie lengkap dalam edisi Bahasa Melayu moden. Ianya ditulis oleh ulama-ulama Syiria terkenal iaitu Dr Mustafa Al-Khin, Dr Mustafa Al-Bugha, Ali Al-Syarbaji. Di samping perbincangannya yang menyeluruh dengan meliputi hampir keseluruhan tajuk dalam bab fikah, ianya disusun secara sistematik dan mudah difahami para pembaca.
Kategori / Bidang: Fikah
Jilid: 1-8
Harga Set Lengkap: RM140.00 - RM156.00 (mengikut cetakan)
Penulis: Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugha, Ali Al-Syarbaji
Penerbit: Pustaka Salam Sdn Bhd
Kitab Syarah Hadis 40 (Terjemahan Al Wafi fi syarh al-Arbain al-Nawawiyyah)
Sinopsis: Buku ini adalah syarah komprehensif kepada hadis 40 Imam al-Nawawi yang dikarang oleh ulama Syiria terkenal iaitu Dr. Mustafa Al-Bugha & Muhyiddin Misto.
Kategori / Bidang: Hadis
Jilid : 1 atau 3
Harga: RM49.50
Penulis: Dr. Mustafa Al-Bugha & Muhyiddin Misto
Penerbit: Pustaka Salam Sdn Bhd
Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains
Sinopsis: Buku ini membicarakan Ilmu Tauhid dengan tanda-tanda kebenaran tauhid berasasakan fakta sains moden.
Kategori / Bidang: Tauhid
Jilid : 1 atau 3
Harga: RM32.00
Penulis: Syeikh Abdul Majid Az-Zindani
Penerbit: Pustaka Salam Sdn Bhd
Kitab Sirah Rasulullah S.A.W (Terjemahan Nurul Yakin)
Sinopsis: Buku ini menjadi teks bagi kebanyakkan institusi pengajian kerana ia boleh dianggap sebagai kitab sirah yang mudah dan ringkas.
Kategori / Bidang: Sirah
Jilid : 1
Harga: RM32.00
Penulis: Syeikh Muhammad al-Khudhari Bik
Penerbit: Pustaka Salam Sdn Bhd
Sirah Nabi Muhammad S.A.W Pengajaran & Pedoman (Terjemahan Fiqh al-Sirah Durus wa Ibar)
Sinopsis: Buku ini memaparkan sirah Nabi Muhammad SAW dan dihuraikan serta dikeluarkan pengajaran-pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang berlaku.
Kategori / Bidang: Sirah
Jilid : 1
Harga: RM15.00
Penulis: Dr. Mustafa as-Syibaie
Penerbit: Pustaka Salam Sdn Bhd
Adab-adab Bersama al Quran (terjemahan al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran)
Sinopsis: Buku ini membicarakan adab-adab guru, murid, pembaca dan pendengar dalam berinteraksi dengan al-Quran.
Kategori / Bidang: al-Quran
Jilid : 1
Harga: RM12.50
Penulis: Imam al-Nawawi
Penerbit: Pustaka Salam Sdn Bhd
Kitab Memahami Tasawwuf yang Sahih
Sinopsis: Buku ini adalah pendedahan yang mudah dan ringkas untuk mereka yang ingin mencari dan memahami Tasawwuf yang sahih.
Kategori / Bidang: Tasawuf
Jilid : 1
Harga: RM10.00
Penulis: Syeikh Abu Mohammad Rohimuddin Nawawi
Penerbit: Pustaka Salam Sdn Bhd

Thursday, 20 September 2012

Melebur Budaya Hedonisme


MELEBUR BUDAYA HEDONISME
Oleh: Ustaz Salman Zainal Abidin

Apa itu Hedonisme?
Hedonisme menurut Oxford Dictionary of Philosophy merujuk kepada perbuatan mengejar keseronokan sebagai matlamat akhir. Dalam perbincangan etika hedonisme diertikan sebagai usaha untuk mencapai keseronokkan dalam setiap perlakuan dan tindakan. Dalam pengertian yang lebih santai, budaya Hedonisme ialah semangat mengutamakan keseronokkan dan hiburan fizikal dalam setiap tindakan.

Tidak dapat disangkal lagi, bahawa kemunculan hedonisme ini adalah natijah kepada penularan sekularisme. Ideologi yang memisahkan agama dalam perbuatan seharian ini melahirkan golongan manusia yang meletakkan keseronokan sebagai matlamat hidup yang mesti diberikan keutamaan walaupun terpaksa membelakangkan persoalan dosa dan pahala. 

Hedonisme dalam masyarakat Islam
Pemerhatian yang tulus akan menyedarkan kita betapa budaya hedonisme ini seakan telah menjadi norma dalam segenap aspek masyarakat Islam. Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, golongan artis yang menjadi sebahagian instrumen budaya hedonisme adalah golongan yang paling dikenali oleh segenap lapisan masyarakat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, pendidik tidak terkecuali golongan agama. Fenomena ini menjadi indikator jelas bahawa hiburan dan keseronokan telah mendominasi sebahagian besar pemikiran masyarakat.

Andaian penulis dikuatkan lagi dengan realiti perkembangan industri hiburan negara yang seakan berlumba dengan industri hiburan di negara-negara barat. Rancangan-rancangan hiburan bercambah subur dengan pelbagai variasi, sasaran peserta dan audien. Kanak-kanak dan golongan remaja tidak lagi 'berseorangan' dalam industri hiburan, tetapi mereka kini 'ditemani' oleh ayah dan ibu bahkan datuk dan nenek yang berkemungkinan teruja dengan rancangan 'khusus' untuk mereka seperti rancangan terbita Astro; Kilauan Emas.

Kesan langsung daripada fenomena ini melahirkan masyarakat yang tidak akan menghiraukan apa sahaja aktiviti kecuali disertakan dengan elemen keseronokan dan hiburan. Kanak-kanak dan remaja tidak akan teruja untuk belajar kecuali mesti ditemani alunan muzik. Upacara-upacara rasmi negara yang bersifat patriotik seperti sambutan kemerdekaan akan hilang serinya jika tidak ada penyertaan artis yang memeriahkan suasana. Program sambutan hari raya yang merupakan simbol kemenangan melawan nafsu tidak akan bermakna jika tidak ada nyanyian, gelak ketawa, usik mengusik dan sebagainya. Bahkan yang paling malang, rancangan-rancangan keagamaan terpaksa diubahsuai dengan disertakan elemen hiburan bagi memastikan sambutan penonton. Sebahagian program keagamaan terpaksa mencedok format program-program hiburan supaya lebih elegan dan ceria. Suatu ketika dahulu, rancangan Akademi Fantasia yang merupakan rancangan realiti pertama industri hiburan negara berjaya menggamit ribuan penonton bersama menyertai undian bagi memenangi peserta pilihan juga menangis berkongsi kesedihan dengan peserta yang tersingkir.

Dalam usaha menyaingi rancangan Akademi Fantasia yang terang-terangan menyalahi norma agama, muncul program realiti berbentuk Islami, Akademi al-Qur'an. Secara peribadi penulis berkeyakinan bahawa masyarakat yang cintakan Islam akan bersyukur dengan kemunculan prpgram-program seumpama ini. Cuma penulis agak terkilan apabila sebahagian besar program Islami 'terpaksa' mengetengahkan konsep hiburan maksiat dalam rancangan-rancangan mereka sebagai usaha menarik minat penonton. Sebagai contoh, program hiburan yang menampilkan pengacara lelaki yang bergandingan dengan pengacara perempuan, maka itulah konsep yang diketengahkan oleh program-program Islami. Demikian juga, peserta wanita yang berpakaian menjolok mata dalam program hiburan maksiat, maka dalam program-program Islami peserta wanitanya tidak kalah dengan mulut dan pipi yang merah, barangkali ini adalah tabarruj versi Islam? Persoalan yang bermain di dalam minda penulis; sejauh manakah keperluan menerapkan konsep hiburan maksiat  di dalam program-program Islami?

Pelajar-pelajar agama menganut hedonisme?
Apa yang lebih parah apabila budaya hedonisme ini mula menjangkiti minda pelajar-pelajar yang mendalami Ilmu-ilmu agama. Lalu, segala tindakan dan aktiviti yang dirancang tidak akan terlepas daripada matlamat ingin berseronok. Kesannya, akan lahir golongan agama yang hilang sensitiviti terhadap perkara halal dan haram. Disiplin pergaulan berlainan jantina dipandang sepi. Batasan aurat menjadi persoalan peribadi dengan alasan 'rukhsah' yang membenarkan apa sahaja bentuk dan corak pakaian asal sahaja menutup aurat. Berdua-duaan, berjalan beriringan, makan satu meja dibolehkan dengan alasan berpersatuan? Jika begini minda pelajar-pelajar agama, apakah lagi harapan masyarakat Islam untuk mereka menjadi pendidik anak-anak ummah?

Kesimpulan
Budaya hedonisme tidak boleh disesuaikan sama sekali dengan Islam lantaran akarnya tumbuh dari Sekularisme. Islam melihat hiburan dan keseronokan sebagai alat untuk menenangkan jiwa, bukan sebagai matlamat yang mesti dipenuhi setiap masa. Justeru, akar hedonisme ini mesti dileburkan sehancur-hancurnya dalam jiwa masyarakat Islam. Semestinya wajib bermula daripada diri-diri pelajar-pelajar agama yang bertanggungjawab mendidik generasi ummah ini. Setiap perlakuan, tindakan dan perancangan mesti berpaksikan kepada nilai-nilai Islam. Wajib ditanamkan dalam jiwa 'keberadaan Allah' dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Hanya dengan menyuburkan Islam dan segala nilai-nilainya dalam jiwa, bangkai hedonisme bakal tercampak jauh.

Tuesday, 10 July 2012

Puisi Buat Para Penuntut Ilmu



Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman.
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang.
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan.
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.

Aku melihat air menjadi rusak karena diam tertahan.
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, kan keruh menggenang.

Singa jika tak tinggalkan sarang tak akan dapat mangsa.
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tak akan kena sasaran.

Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam.
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang.

Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang.
Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika didalam hutan.

(Wasiat Imam Syafi'I)
Nukilan: Ustaz Abdul Halim Syihab

Monday, 14 May 2012

Akhlak Mukmin


AKHLAK MUKMIN
Oleh: Ustaz Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah (Dekan Akademi Islam)


Assalamualaikum Ikhwah, akhwat dan seluruh warga Usuluddin.

Suatu ketika Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya: "Inginkah kamu ku beritahu siapa dari kamu yang paling aku cintai dan akan duduk paling dekat denganku di majlis di hari Kiamat kelak? Rasulullah SAW mengulangi pertanyaan itu. Pada ulangan pertanyaannya yang ketiga, para sahabat seperti tersentak dan berkata: "Ya, kami ingin mengetahuinya ya Rasulullah!" Rasulullah SAW kemudian bersabda: "Orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu." (HR Ahmad)

Demikianlah, Rasulullah SAW memulai dari akhir menjelaskan kedudukan orang yang berakhlak mulia di akhirat kerana akhlak adalah bahagian terakhir dari ajaran Islam yang baginda bawa setelah aqidah dan syariat.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (HR Malik)

Oleh kerana itu, iman tidak di anggap sempurna sebelum mampu membangkitkan tenaga jiwa seseorang untuk mendorong keluarnya nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan dalam bentuk sikap dan perilaku. Itulah iman yang hidup dan yang sempurna.

Dengarlah sabda Rasulullah SAW: "Orang mu'min yg paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka." (HR Tirmizi dari Abu Hurairah)

Oleh kerana itu, Allah SWT mewajibkan berbagai macam ibadah agar iman menemui jalan menuju perilaku dan akhlak manusia muslim. Itulah sebabnya, jika ibadah-ibadah tersebut tidak sampai berakhir dengan akhlak yang baik, maka bererti ia tidak sempurna dan tidak berkesan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Ankabut ayat 45: "Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan2) keji dan munkar."

Maka janganlah hairan jika kemudian nanti Allah akan menjadikan akhlak yang baik sebagai amal yang berat timbangan pahalanya. Dalam ayat matematik, bolehlah kita rumuskan akhlak seperti berikut:

Akhlak = Iman + Amal Soleh

Dalam deretan ayat-ayat Al Quran, kita akan menemui dua kata kembar di atas yang sentiasa disebut secara bergandingan iaitu iman dan amal soleh.

a. Yang pertama tersimpan dalam batin manakala yang kedua tersusun rapi pada keperibadian luar.
b. Yang pertama menggelora dalam jiwa manakala yang kedua menggelombang dalam perilaku.

Kedua-duanya merupakan bahagian-bahagian yang:
1. Menyatu.
2. Saling terkait.
3. Berjalan bergandingan mengayun langkah keperibadian.

Maka, hujung dari iman dan amal soleh adalah akhlak.


Perkara di atas boleh kita perincikan lagi seperti berikut:

PERTAMA: IMAN
Kumpulan kebenaran yang difahami dan diyakini secara mutlak sesuatu yang kemudiannya mengarahkan pemikiran membentuk kemahuan dan meluruskan perilaku.

KEDUA: AMAL SOLEH
Kumpulan tindakan dan sikap yang lahir dari kesedaran pemikiran akaN nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan serta kemahuan yang kuat yang berubah menjadi tekad. Maka:

KETIGA: AKHLAK
Nilai dan pemikiran yang telah menjadi sikap mental yang mengakar dalam jiwa lalu terzahir dalam bentuk tindakan dan perilaku yang bersifat tetap, semulajadi dan membuahkan hasil.

Sebagaimana amal soleh mencakupi semua sektor kehidupan manusia maka akhlakpun seharusnya hadir dalam semua sisi kehidupan manusia yang kita panggil sebagai wilayah akhlak.

Akhlak dalam semua wilayah keperibadian manusia meliputi :
a. Akhlak bagi pemikiran.
b. Akhlak bagi keyakinan.
c. Akhlak bagi hati.
d. Akhlak bagi jiwa.

Akhlak dalam semua wilayah hubungan manusia meliputi:
a. Akhlak manusia kepada Allah.
b. Akhlak manusia kepada sesama manusia.
c. Akhlak manusia kepada diri sendiri.
d. Akhlak manusia kepada lingkungan alam di sekitarnya.

Akhlak dalam semua dimensi kehidupan manusia meliputi:
a. Akhlak individu.
b. Akhlak sosial.

Akhlak dalam semua sektor kehidupan manusia meliputi:
a. Akhlak dalam politik.
b. Akhlak dalam sosial.
c. Akhlak dalam ekonomi.
d. Akhlak dalam penghakiman dan undang-undang.
e. Akhlak dalam keadaan perang dan damai.

Demikianlah ‘La Ilaaha Illallah’ sebagai kumpulan nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan memasuki individu manusia dan menumbuhkan visi, membangun mentaliti serta membentuk akhlak dan  karakternya. Demikian pula ‘La Ilaaha Illallah’ sebagai kumpulan nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan memasuki masyarakat manusia dan mereformasi sistem serta membangun budaya dan mengembangkan peradabannya.

Bagaimanakah kita membuat penilaian atas akhlak?

Apakah ia benar atau salah?

Apakah ia baik atau buruk?

Apakah yang ini soleh dan yang itu tidak?

Ini adalah kerana penilaian terhadap perkara ini akan dapat menghantar kita kepada penilaian tentang seseorang; apakah ia seseorang yang soleh atau tidak, matang atau tidak, dewasa atau tidak?

Dengan kata lain, bertanya tentang bagaimana menilai bererti bertanya tentang sumber pembenaran atas suatu perbuatan.

Dari manakah kita menemui sumber pembenaran itu?

Apakah dari Allah swt atau dari manusia ataupun dari keduanya?

Para pemikir sejarah umat manusia sepakat membahagikan nilai itu dalam tiga kategori yang masing-masing mempunyai padanan yang berlawanan iaitu :
Nilai Kebenaran >< Nilai Kebatilan
Nilai Kebaikan >< Nilai Kejahatan
Nilai Keindahan >< Nilai Keburukan

Islam sendiri memang meletakkan nilai moralnya dalam tiga konteks tadi iaitu:

PERTAMA: AKAL
Yang dapat memahami nilai kebenaran dan kebatilan.

KEDUA: HATI (ASAS FITRAH & NURANI)
Yang dapat membezakan antara nilai kebaikan dan kejahatan.

KETIGA: ZAUQ (CITARASA)
Yang dapat merasakan nilai keindahan dari nilai keburukan.

Akan tetapi kemampuan akal, hati dan zauq manusia tidak mungkin dapat membuat penilaian yang tepat. Untuk itulah Allah swt menurunkan agama agar manusia mendapatkan pedoman yang lebih terperinci dalam penilaian sehingga bertemulah dua sumber pembenaran tersebut iaitu:

PERTAMA:
Sumber pembenaran dari Allah SWT melalui Al Quran dan As Sunnah.

KEDUA:
Sumber pembenaran drai manusia dengan akal sihat, fitrah suci dan citarasa keindahannya.

Kemudian apakah pula kriteria penerimaan akhlak yang soleh tersebut? Dengan memahami penjelasan di atas dapatlah difahami bahwa perbuatan soleh itu adalah perbuatan yang dilakukan dengan motif (niat) semata-mata untuk Allah SWT dan dilakukan dengan cara yang benar sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW.

Dengan demikian, perbuatan itu bukan sahaja diterima di sisi Allah SWT tetapi juga dikira berjaya dalam ukuran manusia; bukan sahaja membawa pelakunya memperolehi keselamatan di akhirat malah juga kebahagiaan di dunia.

Jadi kriteria penerimaan akhlak soleh ini dapat kita rumuskan seperti berikut:
Niat + amal + ikhlas untuk Allah + benar menurut sunnah + diterima di sisi Allah + berjaya di mata manusia + selamat di akhirat + bahagia di dunia.

Inilah perbezaan yang mendasar antara Islam dan materialisma.

Dalam konsep materialisma, manusia adalah pusat penilaian dan penerimaan sekaligus. Oleh kerana masyarakat merupakan sesuatu yang relatif, maka penilaian dan penerimaan pun akhirnya berpusat pada individu di mana penilaiannya seperti berikut:

Suatu perbuatan dianggap baik dan benar jika ketika manusia melakukannya, ia mendapatkan kepuasan, kebahagiaan dan tidak merugikan orang lain. Bahwasanya masyarakat kemudian bersetuju atau tidak setuju, menerima atau tidak menerima, menjadi tidak relevan dan tidak penting.

Sekarang marilah kita meneliti induk-induk akhlak terpuji yang akan melahirkan berbagai sifat-sifat lain yg mewarnai karakter dan akhlak seseorang manusia itu:

PERTAMA:
Cinta kebenaran melahirkan jujur, adil, keyakinan dan amanah.

KEDUA:
Kekuatan kehendak melahirkan optimis, tegas, ketahanan, disiplin, inisiatif, serius dan pengendalian diri.

KETIGA:
Cita-cita yang tinggi melahirkan dorongan berprestasi, dinamik, harga diri dan tidak mudah menyerah.

KEEMPAT:
Kesabaran melahirkan ketenangan, konsisten, pengendalian diri, lembut, santun dan mampu menjaga rahsia.

KELIMA:
Rasa kasih melahirkan pemaaf, empati, musyawarah, silaturahim, penolong, berbakti kepada orang tua dan santun kepada fakir miskin.

KEENAM:
Naluri sosial melahirkan bersih hati, ukhuwah, anti perpecahan, mampu bekerjasama, menutup aurat dan menjaga barang milik bersama.

KETUJUH:
Cinta manusia melahirkan bersih jiwa, kerjasama, dermawan, adil dan sentiasa berkehendak baik.

KELAPAN:
Kedermawanan melahirkan pemurah, harga diri, mendahulukan orang lain, infaq dan ukhuwah.

KESEMBILAN:
Kemurahan hati melahirkan lembut, lapang dada, pemaaf, ridha, ceria dan menyenangkan orang lain.

Pendek kata kesemua karakter yang terserlah dalam perjalanan kehidupan manusia adalah terangkum dalam salah satu dari induk-induk akhlak terpuji yang dicatatkan di atas.

Akhir sekali marilah kita sama-sama meneliti semula akan karakter dan akhlak yang wujud di dalam diri kita samada ianya benar-benar hasil dari keimanan yang benar kepada Allah SWT dan dicernakan dalam bentuk amal-amal soleh yang ikhlas kepada Allah SWT serta diaplikasikan ke dalam setiap sisi kehidupan yang akan melahirkan satu wilayah akhlak yang benar-benar memberi kesan yang besar kepada perubahan dalam masyarakat.

Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperelokkan kejadian kami maka perelokkanlah pula akhlak kami dan masukkanlah kami bersama orang-orang yang dicintai oleh Rasulullah SAW serta didekatkan diri kami bersama NabiMu di akhirat kelak. Wassalam.

Al-Faqir ila a'fuwu Rabbihi,
abuhakim99

Friday, 27 April 2012

We Are The Best


WE ARE THE BEST
Oleh: Haslan Khairuddin

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh!
Alhamdulillah, selawat dan salam dipanjatkan kepada model teragung dan terulung Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda.


Warga Usuluddin KUIS sekalian,
Semoga kita sukses dalam segala urusan hidup selalu, amin.

Alhamdulillah, kita terpilih untuk berada di bawah "Usuluddin" iaitu satu disiplin yang cukup luas. Disiplin ini mendedahkan kepada kita pelbagai cabang ilmu dibawahnya seperti:
i- Ilmu al-Aqidah; perbincangan mengenai Rukun Iman, akidah sebagai seorang Muslim, perkara yang membatalkan akidah dan sebagainya.
ii- Ilmu al-Kalam;  perbincangan mengenai Akidah Islam dengan hujah-hujah rasional sebagai senjata untuk mendepani puak-puak Islam seperti Muktazilah, Jabariah, Qadariah dsbg. yang menjadikan rasionalisme sebagai asas kepercayaan dan pegangan hidup.
iii- Ilmu al-Tasawwuf; pengetahuan untuk mengenal dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya serta kaedah-kaedah dalam mencapai tujuan ini.
iv- Ilmu al-Milal wa al-Nihal (Agama-agama & Idelogi); mendedahkan kita pengetahuan berkaitan agama-agama selain Islam yang wujud di dunia.
v- Ilmu Muqaranah al-Adyan (Pebandingan Agama); mendedahkan kita pengetahuan berkaitan persamaan dan perbezaan yang wujud dalam agama-agama selain Islam dan hujah-hujah untuk mendepani mereka.
vi- Ilmu al-Tayyarat Fikriyyah al-Mua'sirah (Ideologi Pemikiran Semasa); mendedahkan kita pengetahuan berkaitan ideologi-ideologi semasa yang wujud di dunia pada hari ini seperti Nasionalisme, Sekularisme, Kapitalisme dan sebagainya.
vii- Ilmu Falsafah; mendedahkan kita pengetahuan berkaitan falsafah manusia yang wujud di dunia bermula sebelum Falsafah Greek kemudian Falsafah Islam, Falsafah Moden serta tokoh-tokohnya seperti Aristotle, Plato, Socrates, Ibn Sina, Ibn Rusyd, Ibn Tufayl dsbg.

Masya-Allah luas, baru cabang utama, belum lagi dipecah cabangnya seperti ilmu Kajian Ajaran Sesat, Tarekat-tarekat Kesufian, Pemikiran Islam dsbg.

Masya-Allah, belum lagi subjek-subjek multimedia yang dipelajari oleh pelajar Sarjana Muda Usuluddin dengan Multimedia (SMUM) yang begitu mengujakan kami para pensyarah untuk mempelajarinya . Jelas, WE ARE THE BEST!

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 27 bermaksud:
"Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Sesungguhnya ilmu Allah SWT itu luas. Alhamdulillah, kita punyai peluang untuk menuntut dan mempelajari ilmu-ilmu yang luas walaupun mungkin jauh sekali untuk mencapai sekelumit dari ilmu Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Justeru, kemahuan dan kesungguhan amat perlu untuk kita mencapai tujuan untuk menjadi yang terbaik atau the best. Semoga segala kemahuan dan urusan kita dipermudah-Nya, amin! Wassalam.

Tuesday, 24 April 2012

Ahlan wa Marhaban

AHLAN WA MARHABAN
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh!

Alhamdulillah wa bismillah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.

Alhamdulillah, pada hari ini blog rasmi Jabatan Usuluddin, Kolej Universiti Islam Antarangsa Selangor (KUIS) dapat diwujudkan. Semoga blog ini dapat memberikan manfaat atau sesuatu kepada semua terutamanya kepada warga Usuluddin KUIS.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 88 bermaksud:
“Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepadaNyalah aku kembali.”
Selamat bertamu dan selamat membaca!