Thursday, 20 September 2012

Melebur Budaya Hedonisme


MELEBUR BUDAYA HEDONISME
Oleh: Ustaz Salman Zainal Abidin

Apa itu Hedonisme?
Hedonisme menurut Oxford Dictionary of Philosophy merujuk kepada perbuatan mengejar keseronokan sebagai matlamat akhir. Dalam perbincangan etika hedonisme diertikan sebagai usaha untuk mencapai keseronokkan dalam setiap perlakuan dan tindakan. Dalam pengertian yang lebih santai, budaya Hedonisme ialah semangat mengutamakan keseronokkan dan hiburan fizikal dalam setiap tindakan.

Tidak dapat disangkal lagi, bahawa kemunculan hedonisme ini adalah natijah kepada penularan sekularisme. Ideologi yang memisahkan agama dalam perbuatan seharian ini melahirkan golongan manusia yang meletakkan keseronokan sebagai matlamat hidup yang mesti diberikan keutamaan walaupun terpaksa membelakangkan persoalan dosa dan pahala. 

Hedonisme dalam masyarakat Islam
Pemerhatian yang tulus akan menyedarkan kita betapa budaya hedonisme ini seakan telah menjadi norma dalam segenap aspek masyarakat Islam. Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, golongan artis yang menjadi sebahagian instrumen budaya hedonisme adalah golongan yang paling dikenali oleh segenap lapisan masyarakat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, pendidik tidak terkecuali golongan agama. Fenomena ini menjadi indikator jelas bahawa hiburan dan keseronokan telah mendominasi sebahagian besar pemikiran masyarakat.

Andaian penulis dikuatkan lagi dengan realiti perkembangan industri hiburan negara yang seakan berlumba dengan industri hiburan di negara-negara barat. Rancangan-rancangan hiburan bercambah subur dengan pelbagai variasi, sasaran peserta dan audien. Kanak-kanak dan golongan remaja tidak lagi 'berseorangan' dalam industri hiburan, tetapi mereka kini 'ditemani' oleh ayah dan ibu bahkan datuk dan nenek yang berkemungkinan teruja dengan rancangan 'khusus' untuk mereka seperti rancangan terbita Astro; Kilauan Emas.

Kesan langsung daripada fenomena ini melahirkan masyarakat yang tidak akan menghiraukan apa sahaja aktiviti kecuali disertakan dengan elemen keseronokan dan hiburan. Kanak-kanak dan remaja tidak akan teruja untuk belajar kecuali mesti ditemani alunan muzik. Upacara-upacara rasmi negara yang bersifat patriotik seperti sambutan kemerdekaan akan hilang serinya jika tidak ada penyertaan artis yang memeriahkan suasana. Program sambutan hari raya yang merupakan simbol kemenangan melawan nafsu tidak akan bermakna jika tidak ada nyanyian, gelak ketawa, usik mengusik dan sebagainya. Bahkan yang paling malang, rancangan-rancangan keagamaan terpaksa diubahsuai dengan disertakan elemen hiburan bagi memastikan sambutan penonton. Sebahagian program keagamaan terpaksa mencedok format program-program hiburan supaya lebih elegan dan ceria. Suatu ketika dahulu, rancangan Akademi Fantasia yang merupakan rancangan realiti pertama industri hiburan negara berjaya menggamit ribuan penonton bersama menyertai undian bagi memenangi peserta pilihan juga menangis berkongsi kesedihan dengan peserta yang tersingkir.

Dalam usaha menyaingi rancangan Akademi Fantasia yang terang-terangan menyalahi norma agama, muncul program realiti berbentuk Islami, Akademi al-Qur'an. Secara peribadi penulis berkeyakinan bahawa masyarakat yang cintakan Islam akan bersyukur dengan kemunculan prpgram-program seumpama ini. Cuma penulis agak terkilan apabila sebahagian besar program Islami 'terpaksa' mengetengahkan konsep hiburan maksiat dalam rancangan-rancangan mereka sebagai usaha menarik minat penonton. Sebagai contoh, program hiburan yang menampilkan pengacara lelaki yang bergandingan dengan pengacara perempuan, maka itulah konsep yang diketengahkan oleh program-program Islami. Demikian juga, peserta wanita yang berpakaian menjolok mata dalam program hiburan maksiat, maka dalam program-program Islami peserta wanitanya tidak kalah dengan mulut dan pipi yang merah, barangkali ini adalah tabarruj versi Islam? Persoalan yang bermain di dalam minda penulis; sejauh manakah keperluan menerapkan konsep hiburan maksiat  di dalam program-program Islami?

Pelajar-pelajar agama menganut hedonisme?
Apa yang lebih parah apabila budaya hedonisme ini mula menjangkiti minda pelajar-pelajar yang mendalami Ilmu-ilmu agama. Lalu, segala tindakan dan aktiviti yang dirancang tidak akan terlepas daripada matlamat ingin berseronok. Kesannya, akan lahir golongan agama yang hilang sensitiviti terhadap perkara halal dan haram. Disiplin pergaulan berlainan jantina dipandang sepi. Batasan aurat menjadi persoalan peribadi dengan alasan 'rukhsah' yang membenarkan apa sahaja bentuk dan corak pakaian asal sahaja menutup aurat. Berdua-duaan, berjalan beriringan, makan satu meja dibolehkan dengan alasan berpersatuan? Jika begini minda pelajar-pelajar agama, apakah lagi harapan masyarakat Islam untuk mereka menjadi pendidik anak-anak ummah?

Kesimpulan
Budaya hedonisme tidak boleh disesuaikan sama sekali dengan Islam lantaran akarnya tumbuh dari Sekularisme. Islam melihat hiburan dan keseronokan sebagai alat untuk menenangkan jiwa, bukan sebagai matlamat yang mesti dipenuhi setiap masa. Justeru, akar hedonisme ini mesti dileburkan sehancur-hancurnya dalam jiwa masyarakat Islam. Semestinya wajib bermula daripada diri-diri pelajar-pelajar agama yang bertanggungjawab mendidik generasi ummah ini. Setiap perlakuan, tindakan dan perancangan mesti berpaksikan kepada nilai-nilai Islam. Wajib ditanamkan dalam jiwa 'keberadaan Allah' dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Hanya dengan menyuburkan Islam dan segala nilai-nilainya dalam jiwa, bangkai hedonisme bakal tercampak jauh.

Friday, 13 July 2012

Ada apa dengan cinta?



Ada apa dengan cinta?
Cinta..perkataan keramat yang paling mudah dirasai oleh semua insan. Mengungkapkannya sahaja mampu menjadikan seseorang tersenyum. Memperkatakan tentangnya cukup membahagiakan. Bagaikan tanpa jemu, soal cinta adalah evergreen sifatnya. Sama sekali tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Setiap jiwa pasti menginginkan cinta dalam hidupnya. Untuk menyintai dan dicintai.. Cinta yang bersambut pastinya membuahkan semangat dalam diri untuk bertemu dan bersama dengan yang dicintai. Tidak kira usia dan masa, perasaan ini akan hadir juga. Jika tidak, masakan wujud istilah ‘cinta monyet’ atau ‘cinta kampus’. 

Pelbagai istilah dan bahasa digunakan untuk mengungkapkan rasa cinta ini. Namun, keluasannya dan keunikannya seakan tidak mampu dilafazkan dengan kata-kata. Tidak juga cukup dengan bait-bait syair dan gubahan madah. Hampir kesemua insan tahu apa itu cinta tetapi tidak semua insan berjaya memperoleh kecintaan yang hakiki. Menyebut tentang cinta biasanya terluncur dari mulut dan tergambar di fikiran ialah kisah Laila dan Majnun, Shah Jehan dan Mumtaz Mahal, Uda dan Dara serta bermacam kisah cinta yang berakhir dengan kesedihan.

Putus cinta lagi?
Kesedihan yang dimaksudkan ini dalam erti kata lain ialah ‘putus cinta’. Ia adalah musibah yang paling ditakuti oleh mana-mana pasangan yang hangat bercinta. Ia begitu menyakitkan sehingga mampu membuatkan seseorang hilang kewarasan, mencederakan diri malah sanggup membunuh! Ya, semua ini kononnya atas dasar cinta. Jika benar kerana cinta insan lupa segala-galanya, maka terbuktilah kehebatan cinta itu. Ia boleh menjadikan seseorang itu semakin bersemangat di samping menjadikan seseorang itu putus harapan. Justeru, bagaimanakah sepatutnya cinta itu? Benarkah ianya buta dan hanya mengundang sengsara? Jika begitulah keadaannya, adakah menjauhi cinta itu pilihan terbaik untuk mendapatkan ketenangan?

Di suatu sudut dunia kita dapat melihat manusia yang terlalu asyik mengejar cinta. Manakala di satu sudut lain terdapat masyarakat seolah-olah ‘gila’ akibat putus cinta.  Tidak kurang juga terdapat segelintir masyarakat yang cuba menafikan cinta dalam jiwa mereka kerana khuatirkan kesengsaraan dalam hidup. 

Percayalah bahawa saya turut mengakui keperitan akibat putus cinta. Sememangnya ia menyakitkan dan melukakan. Lebih parah lagi apabila luka itu sukar diubati kerana sifatnya yang maknawi. Tetapi ketauhilah bahawa itu bukanlah penamat segala-galanya. Bangunlah dan lihatlah dunia yang terbentang luas ini. Renungi pula dengan mata hati bahawa di sebalik dunia ini ada alam akhirat yang sifatnya kekal abadi.

Tanyalah diri kita sejauh manakah perjalanan hidup? Adakah ia akan berakhir apabila nyawa dicabut atau berterusan selepas kebangkitan semula? Jika kita memperhatikan ini semua, tentunya kita akan berhenti menangisi cinta makhluk yang telah berlalu sebaliknya tersenyum memandang keluasan cinta Tuhan yang abadi. 

Bagaimanakah suci sebuah cinta itu?
Sesungguhnya cinta adalah fitrah kurniaan Allah kepada setiap insan. Malah, penciptaan kita juga adalah kerana kecintaan-Nya kepada kita. Lahirnya kita ke dunia juga adalah kerana Dia menitipkan rasa cinta ke dalam hati ibu dan ayah kita. Justeru, cinta itu adalah suatu yang suci dan tidak wajar kita kotori dengan kotoran duniawi. Letakkan ia sesuai dengan fitrah insani.

Cinta yang hakiki ada pada Allah.. Bercinta dengan-Nya adalah satu kebahagiaan yang tiada tolok bandingnya. Tanpa dukacita, tanpa sakit rasa. Malah, tiada istilah ‘putus cinta’ dalam hubungan cinta dengan-Nya. Dengan cinta kepada-Nya kita bukan sahaja menjadi lebih bersemangat untuk hidup malah juga cinta untuk mati! Aneh, bukan? Ya, kerana kita yakin bahawa kematian hanyalah satu proses transisi bagi kita sebelum menemui Allah. Sama seperti proses kita hidup dalam rahim ibu. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Mati itu sakit namun ianya seketika sebelum kebahagiaan kekal abadi bersama Allah yang kita cintai.

Kecintaan kepada Allah menjadikan kita tidak gentar kepada musibah, tidak lagi rebah hanya kerana ditinggalkan oleh insan lain, tidak lagi mengharap kepada cinta makhluk lain, tidak juga bergantung kepada dunia untuk melangkah. Dengan cinta kepada-Nya, kita semakin berani untuk berhadapan dengan pancaroba dunia, semakin yakin untuk melaksanakan perintah-Nya, semakin jauh daripada larangan-Nya, semakin rindu bertemu dengan-Nya dan semakin tidak terikat dengan hiasan dunia.

Kita tahu bahawa cinta kita hanya satu, iaitu kepada Allah. Dia tidak akan sama sekali meninggalkan kita malah sedia memberi yang terbaik untuk kita. Dengan hanya mengharap kepada-Nya, yakinlah bahawa Dia akan menganugerahkan ketenangan sama ada di tengah khalayak mahupun di kala bersendirian.

Malah, jika bercinta dengan insan sekalipun, ia pastinya tidak dapat mengatasi kecintaan kepada Allah. Cinta kepada makhluk adalah fitrah yang tidak dapat dinafikan. Namun kesuciannya tetap terjamin apabila ia dipandu oleh kecintaan kita kepada Allah.

Tuhan, kurniakan kami cinta-Mu..
Di atas kehebatan cinta ini juga, Allah tidak menetapkan had bagi mereka yang menginginkan cinta-Nya. Lantaran itu, marilah kita berlumba-lumba untuk meraihnya! Sesungguhnya kecintaan kepada Allah ini telah pun diperoleh oleh para nabi, rasul, sahabat dan wali terdahulu. Oleh itu, tidaklah mustahil bagi kita selaku insan biasa mendapatkannya. Ayuh, berusahalah dan pintalah kepada-Nya agar dikurniakan cinta kepada-Nya dan cinta mereka yang menyintai-Nya!

Semoga kita tidak lagi kesunyian dalam melayari bahtera kehidupan kerana cinta-Nya sudah kita miliki.

Tips mendapatkan cinta ILAHI:
1. Memperhatikan keagungan nikmat Allah kepada semua makhluk terutama diri kita.
2. Merasai kesempurnaan dan keindahan Allah s.w.t. melalui nama-nama dan sifat-Nya.
3. Menghayati serta mengikhlaskan diri dalam setiap ibadat yang dilakukan.
4. Membaca kisah cinta tokoh ulama terdahulu terhadap Tuhannya.
5. Melatih diri dan hati untuk sentiasa berzikir kepada Allah.
6. Melakukan perkara yang dicintai-Nya seperti bertaubat dan bertawakkal kepada-Nya.


Nukilan: Ustazah Nazneen Ismail

Tuesday, 10 July 2012

Puisi Buat Para Penuntut Ilmu



Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman.
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang.
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan.
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.

Aku melihat air menjadi rusak karena diam tertahan.
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, kan keruh menggenang.

Singa jika tak tinggalkan sarang tak akan dapat mangsa.
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tak akan kena sasaran.

Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam.
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang.

Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang.
Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika didalam hutan.

(Wasiat Imam Syafi'I)
Nukilan: Ustaz Abdul Halim Syihab

Friday, 8 June 2012

Tahniah Ustaz Mohd Hamidi bin Ismail



KHAMIS, 24 Mei 2012, Dewan al-Sheikh Dr. Abd. al-Halim Mahmud, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir, Ustaz Mohd Hamidi bin Ismail telah selamat menjalani majlis munaqashah/viva tesis Masternya yang bertajuk "Risalah al-Shamsiyyah li al-Imam Mahmud al-Razi: Dirasah Tahqiqiyyah Bab al-Tasawwurat". Penyelia tesis beliau ialah Dr. Abd. al-Salam Khaidir dan Dr. Mahy al-Din al-Safi, pensyarah di Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir. Keduanya merupakan tokoh yang terkenal dan tidak asing terutamanya bagi mereka yang pernah menuntut di Jabatan Akidah dan Falsafah, Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Pihak Jabatan Usuluddin dengan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Ustaz Mohd Hamidi bin Ismail di atas kejayaan ini. Semoga segala ilmu beliau dapat dimanfaatkan oleh warga Akademi Islam KUIS terutamanya warga Jabatan Usuluddin.

Thursday, 17 May 2012

Lawatan ke Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia.

RABU, 16 Mei 2012, Jabatan Usuluddin, Akademi Islam (AI), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan jayanya telah menganjurkan Lawatan Akademik ke Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Lawatan ini bertujuan mendedahkan koleksi manuskrip Alam Melayu Nusantara yang wujud di Pusat Manuskrip Melayu, PNM kepada para pensyarah AI.

Seramai 25 orang para pensyarah AI yang menjayakan lawatan iaitu Us. Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah, Dekan AI, Us. Abdul Halim Syihab, Ketua Jabatan Usuluddin, Us. Daud Lin Abdullah, Us. Khafidz Soroni, Us. Ismail Omar, Us. Hairol Anuar Mak Din, Us. Hamidun Muhamad Husin, Us. Abdul Mukti Baharudin, Us. Amzan Satiman, Us. Shuhadak Mahmud, Us. Zainuddin Che Seman, Us. Mohamed Yosef Niteh, Us. Mahmud Lutfi Abdul Hadi, Us. Mohd Hamidi Ismail, Us. Muhammad Syafee Salihin Hasan, Us. Wan Haslan Khairuddin,  Us. Mohd Norzi Nasir, Us. Zaidul Amin Suffian Ahmad, Us. Abdul Azis Awang Kechik, Us. Mohd Muhammad Fairuz A.Adi, Ust. Siti Zahrah Abdul Hamid, Ust. Norsaadah Din, Ust. Siti Rashidah Abd. Razak, Ust. Noraini Mohamad dan Ust. Wan Ramizah Hasan.



Bas KUIS yang membawa para pensyarah terbabit bertolak dari KUIS pada jam 9.00 pagi dan tiba di PNM pada jam 10.00. Rombongan disambut oleh kakitangan PNM terutamanya daripada Pusat Manuskrip Melayu dan Bahagian Pemuliharaan. Taklimat berkaitan Manuskrip Melayu dan Pemuliharaan Manuskrip Melayu telah didedahkan di Aras 1, Dewan Serbaguna PNM kepada peserta rombongan bersama kunjungan ke tempat-tempat yang berkaitan.

Terima kasih di ucapkan kepada kakitangan PNM di atas kesediaan menerima kunjungan dan sambutan yang diberikan terutamanya kepada Ketua Pengarah PNM, kakitangan Pusat Manuskrip Melayu iaitu Puan Nasimah Badaruddin, Encik Faizal Hilmie Yusof, Puan Mastura Hussin, Bahagian Pemuliharaan iaitu Puan Samsul Khamariah Hamzah, Encik Arif Ibrahim dan semua kakitangan PNM yang terlibat.



Sesi lawatan ini berakhir dengan jayanya apabila Bas KUIS selamat tiba di perkarangan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada jam 4.00 petang. Terima kasih diucapkan kepada pemandu kami dan semua kakitangan KUIS yang mempermudahkan urusan serta menjayakan lawatan beharga ini.